Wednesday, 23 March 2016

Kefahaman Terhadap Lima Alam

Bagaimanakah kefahaman terhadap lima alam dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni walaupun berbeza?

Pertamanya, kefahaman tentang alam roh, iaitu pada alam ini terjadinya Perjanjian Asali antara Allah dan roh-roh manusia. Pada alam ini, semua roh telah bersama-sama bersaksi bahawa Allah adalah Tuhan dan sememangnya roh diciptakan dalam keadaan yang mulia dan secara fitrahnya roh itu menyukai kebaikan. Jika kita tahu dan sedar hakikat ini, semestinya kita akan sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan supaya dunia ini sentiasa aman dan harmoni walaupun terdapat masyarakat yang berbeza-beza.

Kedua, kefahaman terhadap alam rahim. Pada alam ini kita telah diciptakan secara fizikalnya dan ditiupkan roh ke dalam jasad fizikal kita. Antara perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada kita pada alam ini ialah, jodoh, rezeki dan ajal maut. Kita haruslah sedar tentang hakikat ini bahawa Allah lah yang berkuasa dalam proses penciptaan manusia. Oleh itu, kita tidak boleh menyakiti orang lain kerana mereka juga adalah ciptaan Allah sama sahaja seperti kita.

Ketiga, kefahaman tentang alam dunia. Pada alam ini, manusia sentiasa diuji dan sentiasa penuh dengan pilihan. Pilihan sama ada untuk patuh kepada Allah ataupun tidak, pilihan untuk mengikuti kebaikan atau sebaliknya dan sebagainya. Kita sebagai manusia haruslah menyedari bahawa alam dunia ini adalah bersifat sementara dan amalan kitalah yang akan menentukan keadaan kita di alam barzakh dan pengakhiran kita di alam akhirat. Jika kita sentiasa menyedari hakikat ini, kita akan sentiasa berwaspada akan tindakan kita kepada sesama manusia supaya wujudnya masyarakat harmoni.

Keempat, kefahaman tentang alam kubur. Pada alam ini, keadaan kita akan diukur melalui amalan kita pada alam dunia. Malaikat Mungkar dan Nakir akan bertanyakan kepada kita dan amalan kita serta tubuh badan kitalah yang akan menentukan kita akan selamat di alam kubur ataupun sebaliknya. Kita mestilah menyedari tentang hakikat alam kubur ini supaya kita sentiasa takut untuk berbuat kejahatan dalam masyarakat kita supaya kita akan menjadi contoh kepada masyarakat dan seterusnya masyarakat yang terbentu adalah masyarakat yang harmoni.

Akhir sekali adalah kefahaman tentang alam akhirat. Pada alam ini, segala amalan kita akan dihisab walaupun sekecil zarah. Melalui amalan yang dihisab itu, kita akan ditentukan ke mana hala tuju terakhir kita adakah di syurga ataupun di neraka. Jika kita tahu dan sedar akan hakikat alam akhirat ini, kita pastinya akan sentiasa beringat supaya tidak melakukan kemungkaran walaupun kejahatan yang kecil kerana semuanya akan dihisab pada alam ini. Perbuatan-perbuatan yang buruk yang dilarang seperti dalam surah al-Hujurat ayat 6-13 itu adalah sebagai contoh perkara yang boleh memcahbelahkan masyarakat. Jadi, kita mestilah mengawasi perbuatan kita supaya tidak menyakitkan hati orang lain dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang harmoni.

No comments:

Post a Comment